Topik untuk malam ini adalah mengenai:
Hazrat Abdullah r.anhu Membakar Selendangnya
Hazrat Abdullah bin 'Amr bin Al-'As r.anhu berkata, "Pada suatu ketika kami bersama Nabi s.a.w dalam perjalanan. Saya telah pergi untuk berjumpa baginda Nabi s.a.w. Ketika itu saya memakai kain berwarna merah muda. Melihatkan kain itu Rasulullah s.a.w bersabda, "Apakah yang engkau pakai ini?"
Daripada soalan Nabi s.a.w. itu saya sudah dapat merasai ketidaksenangan hati Baginda s.a.w. Saya pun pulang ke rumah dan ketika itu keluarga saya sedang menyalakan dapur. Saya pun terus memasukkan kain itu ke dalam dapur tersebut. Keesokan harinya apabila saya pergi berjumpa Nabi s.a.w., Baginda s.a.w. bersabda, "Apakah yang telah engkau lakukan terhadap kain itu?'.
Saya menceritakan kisah yang telah berlaku. Baginda s.a.w. bersabda, "Kenapa tidak diberikan kepada mana-mana wanita? Tidak ada apa-apa kesalahan jika wanita yang memakai kain itu." (Abu Daud)
Keterangan
Walaupun kain itu tidak perlu dibakar, namun, seseorang yang hatinya telah diguris dengan kemarahan dan ketidaksenangan hati kekasihnya maka tidak terlintas dalam fikirannya untuk mencari kegunaan lain bagi kain tersebut. Bagi seseorang yang biasa seperti kita ini, sudah semestinya kita memikirkan pelbagai alasan untuk membolehkan kita menggunakan kain itu. Kita akan membuat pelbagai andaian. Misalnya, kemarahan Rasulullah s.a.w bukanlah teruk sangat. Lebih baik aku bertanya dahulu. Rasulullah s.a.w bertanya sahaja bukannya Baginda s.a.w melarang. Mungkin Baginda s.a.w. akan mengizinkan untuk kegunaan lain dan bermacam-macam andaian lagi.
No comments:
Post a Comment